Loading...

Sejarah Kesultanan Kuala Selangor


Sejarah Kesultanan

Sebagaimana yang tertulis di atas bahawa sebelum Kuala Selangor mempunyai sultan tempat ini telah pun didiami oleh orang laut diketuai oleh Upu Chendera Burung. Kisah ini berlainan jika dikaitkan dengan Selangor seluruhnya. Kalau berpandukan kepada kesultanan pertama memanglah tiada siapa dapat menafikan bahawa Raja Lumu yang bergelar Sultan Salahuddin itu merupakan Yang DiPertuan Kuala Selangor (Selangor) pertama.



Walaupun ada setengah pendapat mengatakan bahawa Raja Lumu bukannya sultan pertama di Selangor kerana sebelum Raja Lumu datang di Selangor telah ada yang memerintahnya. Malah keterangan itu mendakwa di Klang telah lebih awal mempunyai ketua, Datuk Engku Klang.

Datuk Engku Klang dikatakan berasal dari Negeri Sembilan, anak Sultan Johor. Dalam keterangan yang sama juga menjelaskan bahawa di Kuala Selangor telah ditadbir oleh Datuk Penggawa, Langat Datuk Aru, Ulu Langat dipimpin oleh Datuk Engku Kelang dan Klang pula ditadbir oleh En Chik Yang Tujuh.

Berpandukan dari keterangan ini nyatalah bahawa pimpinan Datuk Engku Klang tidak meliputi Kuala Selangor, beliau hanya berkuasa di sepanjang Sungai Klang sahaja.


Kesultanan Awal

Kesultanan awal Selangor juga bermula dari Kuala Selangor kerana kesa-kesan yang membuktikan pendapat ini masih terdapat di Kuala Selangor hingga sekarang ini. Akhir K.M 17 di Kuala Selangor telah mempunyai Yam Tuan iaitu seorang raja dari negeri Gua Tanah Bugis bernama Arang Pasarai dan anaknyalah yang berkahwin dengan Daeng Perani, salah seorang anak raja Bugis lima bersaudara kemudiannya mendapat puteri Berima.

Daeng Perani dengan bantuan saudara-saudaranya pergi membantu Sultan Kedah kerana rebutan kuasa. Dalam pertempuran ini Daeng Perani mangkat kena tembak. Seorang lagi dari Raja Bugis itu ialah Daeng Chelak berkahwin dengan Tengku Mandak adinda kepada Sultan Sulaiman Badrul Alam Syah ( 1722-1760) Johor. Apakala Daeng Chelak bertugas ke Riau sebagai Yam Tuan Muda Riau ke 11 dalam tahun 1730an, seorang Bugis bernamaDaeng Mateko yang berbaik dengan Raja Siak mengacau ketenteraman Selangor.

Ini menjadikan Daeng Chelak datang ke Kuala Selangor dengan angkatan perang dari Riau. Daeng Mateko dapat dikalahkan kemudiannya beliau lari ke Siak. Dari semenjak itulah daeng Chelak sentiasa berulang-alik dari Riau ke Kuala Selangor. Lalu berkahwin dengan Daeng Masik Arang Pala kemudian dibawa ke Riau.

Tahun 1742 Daeng Chelak ke Kuala Selangor dengan orang Bugis menyerang Perak dan beberapa ketika disana kemudian ke Selangor. Waktu inilah datang rombongan anak buahnya dari Riau memanggil Daeng Chelak pulang ke Riau dan mangkat dalam tahun 1745.

Ketika Daeng Chelak berada di Kuala Selangor penduduk Kuala Selangor memohon kepada beliau supaya terus menetap di situ sahaja. Walau bagaimana pun Daeng Chelak telah menamakan salah seorang daripada puteranya iaitu Raja Lumu datang ke Kuala Selangor.

Pendapat yang lain pula menyebut, dalam tahun 1743 Raja Lumu telah belayar dari Riau untuk mencari negeri batu ke utara Melaka. Turut serta dalam rombongan itu ialah Daeng Loklokdan beberapa orang pengikutnya. Disebabkan keputusan air minum, rombongan ini pun singgah di sebuah pulau kononnya itu ialah Pulau Angsa sekarang ini. Di situ tidak terdapat air tawar untuk dijadikan minuman lalu singgah dan masuk menyusur ke Sungai Selangor. Setelah sampai ke suatu gelanggang menyabung ayam, jong pun berlabuh. Kedatangan Raja Lumu ini disambut baik oleh anak-anak tempatan kerana beliau dari keturunan Bugis, sebagaimana sumpahan mereka.

Hasrat untuk mencari air tawar untuk miniman itupun luput dari fikiran Raja Lumu bila penduduk tempatan meminta baginda menjadi ketua mereka. Permintaan ini dipersetujui oleh Raja Lumu. Sebagai menyampaikan hajat Raja Lumu, sebuah kolam air tawar di kaki bukit di pinggir Sungai Selangor telah ditunjukkan kepada baginda. Pengakuan dari Raja Lumu inilah berpuncanya kesultanan awal di Kuala Selangor. Raja Lumu dilantik menjadi Yang DiPertuan Selangor pertama, Daeng Loklok dilantik menjadi Datuk Maharaja Lela.

Berita yang mengatakan Raja Lumu anak Daeng Chelak dari Bugis menjadi Yang DiPertuan Selangor itu sampai pula dari pendengaran Sultan Muzaffar Syah di Perak, ketika itu bersemayam di Beruas.

Sultan Muzaffar Syah pun menghantar utusan untuk mempersilakan Raja Lumu barangkat ke Kuala Bernam sebagai pertemuan dengan baginda. Ketibaan Raja Lumu disambut dengan penuh istiadat raja besar-besaran dengan pukulan nobat dan tiupan nefiri. Acara ini dilakukan dengan tujuan sebagai ujian kepada Raja Lumu, adakah beliau benar-benar berketurunan raja yang berdaulat.
Setelah semua ujian itu tidak mendatangkan apa-apa bencana terhadap Raja Lumu, baginda Sultan Muzaffar Syah pun mengesahkan perlantikan tersebut. Seterusnya dinobatkan dan bergelar Sultan Salehuddin Syah, sementara Daeng Loklok digelar Datuk Maharaja Lela Husin.

Pertabalan penuh sejarah itu dilakukan di Pulau Pangkor dalam tahun 1756. Selesai sahaja pertabalan, Sultan Salehuddin Syah pulang ke Kuala Selangor. Itulah Sultan Selangor yang pertama bersemayam di atas Bukit Selangor yang dikenal dengan nama Bukit Malawati.

Menurut Tuffatul al Nafis karangan Almarhum Raja Ali Al Haji, Riau, disitu ketika Tengku Raja Selangor (Raja Lumu) pergi bermain ke Pulau Pangkor, Raja Lumu dijemput oleh Yang DiPertuan Perak untuk mengadap. Dalam perundingan di antara kedua pihak itu bersetuju melantik Tengku Raja Selangor menjadi Yang DiPertuan Besar Selangor digelar Sultan Salehuddin. Kemudian Sultan Salehuddin pun berangkat pulang ke Kuala Selangor diiringi sendiri oleh Yang Dipertuan Besar Perak.

Setelah sampai ke Kuala Selangor Sultan Salehuddin pun ditabalkan dihadapan rakyak Selangor dengan penuh istiadat. Dari sejak itu antara keduanya menjadi sahabat baik sentiasa berutusan. Malangnya dalam buku ini tidak menyebutkan siapakah nama Yang DiPertuan Perak pada ketika itu, tetapi jika memandangkan kepada nama Yang DiPertuan Selangor yang ditabalkan itu ialah sultan Salehuddin memerintah tahun 1756 hingga 1778.


Dari Unsur-Unsur Lain

Di Klang ketika itu ada empat orang datuk yang sama sahaja jawatannya iaitu Datuk Engku , Datuk Aru, Datuk Penggawa dan Datuk Kecil Yang Tujuh (Anak Encik Kuning) yang menggelar dirinya Orang Kaya Klang setelah mendapat persetujuan dari Datuk Engku, selaku pemimpin utama ketika itu.

Disebabkan keempat-empat mereka ini mempunyai tanggungjawab yang sama, mereka pun mengambil keputusan supaya menjemput seorang raja sebagai penaung. Dari sebab-sebab inilah Raja Lumu dijemput khas datang ke Selangor menjadi Yang DiPertuan pertama bertempat di Bukit Selangor dengan persetujuan ayahandanya, Daeng Chelak.

Keterangan ini juga diikuti pula satu keterangan lain itu sebelumnya Raja Lumu datang, Selangor telah ada mempunyai ketua atau orang besar bergelar Datuk Engku Pinang Tunggal. Makamnya masih ada di Sungai Way, Selangor. Datuk Engku Klang ini lima beradik berasal dari Johor, mendapat arahan dari ayahandanya, Bendahara Sekudai supaya datang ke Selangor. Empat orang adiknya yang lain ialah Datuk Kelana, Datuk Jelebu, Datuk Johol dan Datuk rembau. Kesemuanya bertapak di Negeri Sembilan.

Setelah empat keturunan dari Datuk Engku iaitu di zaman Datuk Engku naga Menghulur, ketika inilah orang ramai berkehendakan seorang raja sebagai payung. Oleh kerana ketika itu Selangor berada dalam pengaruh Bugis, terpaksalah raja ini diambil daripada kaum Bugis yang telah sedia ada di Selangor.

Pilihan ini jatuh kepada seorang Bugis bernama Harun pasarai dalam tahun 1700 dengan tabal oleh Datuk Engku Klang serta menyerahkan mohor. Beliau mangkat pada tahun 1723, kemudian digantikan oleh adiknya bernama Raja Siti, bertempat di Klang. Raja Siti mangkat dalam tahun 1743, juga tidak meninggalkan seorang zuriat pun. Inilah yang menyebabkan Raja Lumu diminta menjadi Yang DiPertuan Selangor, di Kuala Selangor.

Dari keterangan tersebut dapatlah suatu kesimpulan bahawa sebelumnya Raja Lumu menjadi Yang DiPertuan, Selangor (Klang) telah mempunyai ketua, tetapi kuasanya tidak melibatkan Kuala Selangor.

Cerita ini agak bercanggah dengan apa yang dituliskan oleh R.O Wenstedt mengenai Negeri Sembilan JMBRSS Vol X11, pt 3 1935, menyebut Raja Lumu tidak diterima oleh Datuk Engku Klang sebagai Yang DiPertuan Selangor terkecuali sesudah Raja Lumu dinobatkan oleh Sultan Perak.

Menurut dari buku Cenderamata Selangor mengatakan kira-kira tahun 1643, Raja Lumu (Lumun) seorang putera Daeng Chelak Raja Bugis telah datang ke Selangor dan menjadi Sultan Selangor Pertama bergelar Sultan Salehuddin Syah.


Sultan-Sultan Selangor yang Bertakhta di Kuala Selangor

SULTAN SALEHUDDIN (1756 - 1778)
Buku sejarah mengenai Selangor menyebut bahawa Raja Lumu hanya mempunyai seorang adik lelaki bernama Raja Haji yang dianggap Panglima Bugis paling perkasa ketika itu, terutamanya menentang Belanda.

Tetapi ada pendapat lisan mengatakan Raja Lumu mempunyai dua orang adik, Raja Haji dan seorang lagi perempuan bernama Raja (Daeng) Hafsah, yang berkahwin dengan Daeng Lakani, kemudiannya membuat tempat di Api-api.

Dari keluarga yang tertua inilah menjadi Yang DiPertua Selangor bergelar Sultan Salehuddin Syah bersemayam di atas Bukit Selangor. Baginda di atas kerajaan dari tahun 1743 (1756) hingga 1778. Apabila mangkat dikebumikan di bukit tersebut dan dinamakan Marhum Salleh.

Baginda juga telah melantikseorang Bugis bernama Daeng Loklok bergelar Datuk Maharaja Lela Husin. Seorang daripada anak perempuannya bernama Cik Long Halijah berkahwin dengan Raja Ibrahim, putera Raja Lumu dan juga Sultan Selangor kedua.
Di zaman pemerintahan Sultan Salehuddin inilah negeri Selangor masuk ke kancah peperangan menentang Belanda yang dibantu oleh Tun Dalam Raja Kecil Yang DiPertuan Trengganu. Inilah juga masanya Selangor berperang dengan Kedah.
Penglibatan Sultan Salehuddin dalam peperangan membantu adiknya Raja Haji inilah membawakan Belanda mengarah pandangan dan bercita-cita menakluk Selangor (Kuala Selangor).

Kemangkatan Sultan salehuddin meninggalkan empat orang putera iaitu Raja Ibrahim, Raja Nala, Raja Idris dan Raja Ja'afar.

SULTAN IBRAHIM (1778 - 1826)
Raja Ibrahim putera sulong Sultan Salehuddin dilantik menjadi Sultan Selangor kedua, adiknya Raja Nala dilantik menjadi Raja Muda dan dua orang yang lain menjadi Orang Besar bergelar di Selangor.

Sultan Ibrahim dianggap seorang Sultan yang berani berhati waja di samping mempunyai pengalaman yang melalui percampurannya semasa dari kanak-kanak lagi. Baginda sering mengikut ayahandanya dalam setiap lawatan seperti ke Riau, Melaka, Negeri Sembilan, Perak dan Kedah.

Bunga peperangan dan perang kecil sentiasa berlaku antara orang Bugis dengan orang Belanda sejak tahun 1740an lagi. Api ini terus menyala selepas 14hb. January, 1784. Peperangan inilah yang mengakibatkan mangkatnya Raja Haji oleh Belanda, kemudiannya dimakamkan di Teluk Ketapang digelar Marhum Ketapang.

Kemangkatan Raja Haji menimbulkan kemarahan Sultan Ibrahim menyebabkan Selangor terlibat secara langsung dari persengkitaan antara Belanda dengan Johor itu. Sebagai persiapan berjaga-jaga dari serangan Belanda terhadap Selangor,Sultan Ibrahim telah membina dua buah kota. Kota batu atas Bukit Selangor dan kota tanah di atas Bukit Tanjung.

Sangkaan ini tepat, pada 2hb. Ogos, 1784, Belanda meyerang dan menakluki kedua-duanya kota tadi. Sultan Ibrahim dengan menakluki kedua-dua kota tadi. Sultan Ibrahim dengan orang-orangnya lari ke Ulu Selangor,lalu ke Pahang menemui Bendehara Ab. Majid meminta bantuan. Semasa di Pahang Sultan Ibrahim sempat berkahwin dengan Tun Selamah, anak Bendahara Ab. Majid.

Selama Belanda di Kuala Selangor dia telah memperbaiki kota batu di Bukit Selangor. Diberinya nama Kota Altings burg sempena nama Gebenor Jeneral Belanda pada masa itu.

Begitu juga kota tanah di Bukit Tanjung dinamakan Kota Utrecht iaitu mengikut nama kapal Jacob Pieter van Braam, kemudiannya kota ini dipanggil Kota Belanda oleh Orang Melayu.

Ketika inilah Belanda melantik Raja Muhammad Ali memangku jawatan Sultan Selangor dengan dibantu anak saudaranya, Syed Ali. Kedua-duanya dari Siak. Berundurnya Sultan Ibrahim ke Pahang tidak bererti tewas terus-menerus, malah baginda menyusun pasukan tentera dan memperkemaskan segala kelengkapan di samping azam dan semangat yang berkobar-kobar.

Dengan satu tekad menuju ke matlamatnya, pada 27hb.Jun, 1785, angkatan Sultan Ibrahim berjaya menghalau Belanda yang berada di Kuala Selangor. Setelah Kuala Selangor ditadbir oleh Sultan Ibrahim baginda cuba mententeramkan Selangor dengan membuat dua perjanjian dengan Belanda iaitu pada 29hb. Julai, 1786 dan 29hb. Julai, 1790. Kemudiannya berbaik-baik dengan Kompeni Inggeris di Pulau Pinang serta membuat perjanjian perniagaan pada 23hb. Ogos, 1818.

Di zaman pemerintahan baginda jugalah Raja Hasan dihantar k Kuala Bidor sebagai pemungut cukai bijih timah yakni sebagai suatu tanda bahawa wilayah ini tertakluk ke Selangor. Kemudian pada 11hb. Julai, 1823, sultan menandatangani perjanjian dengan Perak mengenai bijih timah.

Ketika itulah juga Siam berazam untuk menakluki Selangor. Hasil daripada perkara tersebut lahirlah pula Perjanjian Burnai pada 20hb. Jun, 1826. Akhirnya pada 27hb. Oktober, 1826 Sultan Ibrahim mangkat kemudiannya dimakamkan di atas Bukit Selangor.

Almarhum meninggalkan tujuh orang putera dan beberapa orang puteri. Mereka-mereka itu Raja Muhammad, Raja Hasan, Husain, Ahmad, Abdullah, Said dan Raja Ismail.

0 Komen:

Post a Comment

 
Toggle Footer
TOP