Muzium ini menghimpunkan segala pensejarahan berhubung Kuala Selangor sebagai pusat pentadbiran Negeri Selangor terawal selain meyaksikan bermulanya Institusi Kesultanan Selangor yang diasaskan oleh Raja Lumu (Sultan Salehuddin) pada tahun 1766. Pameran di muzium ini yang berkonsepkan ‘mesra pengguna’ menyediakan tujuh seksyen yang menerangkan secara kronologi Sejarah Daerah Kuala Selangor. Teknik pameran yang interaktif dengan penggunaan info kiosk, diorama dan audio visual akan membantu para pengunjung memahami pameran dengan lebih mudah dan berkesan.
Muzium Permainan Tradisional
KUALA SELANGOR BANDAR BERSEJARAH
ASAL USUL NAMA KUALA SELANGOR
Antara cerita yang mengaitkan nama Selangor adalah daripada sejenis binatang yang digelar ‘langau’. Seorang pahlawan yang sedang dalam perjalanan ke utara tewas oleh seekor langau yang menganggunya ketika berehat di tebing sungai. Akahirnya pahlawan tersebut telah meneroka kawasan tersebut dan dijadikan penempatan yang diberi nama Se-Langau dan akhirnya menjadi Selangor. Kononya juga nama Selangor berasal dari pokok Mentangau yang banyak terdapat di kawasan pinggir sungai. Pohonnya besar dan rimbun dan boleh dilihat dari laut. Ada diantara pedagang mengatakan ‘aku singgah di Kuala Sungai Mentangau’ seterusnya berkembang kepada Kuala Selangau dan akhirnya menjadi Kuala Selangor. Pendapat lain ada menyatakan Selangor berasal dari perkataan ‘salang’ dan ‘jemur’. Dikatakan Kuala Selangor menjadi tempat penyiksaan para penderhaka dengan cara disalang dan dijemur sehingga mati. Dua perkataan salang dan jemur dicantumkan menjadi ‘selangur’.
Kota Bukit Selangor atau Kota Malawati
Kota ini dibina dengan batu pejal yang tersusun rapat dan diletakkan beberapa pucuk meriam Pokok Jati dan Sena ditanam selang 10 kaki untuk mengelakkannya runtuh. Semasa Belanda menduduki Kuala Selangor kota ini diubahsuai dengan menambah beberapa pucuk meriam dan dinamakan Fort Altingburg. Mempunyai keluasan kira-kira 500 x 300 ela persegi. Mengandungi 3 tingkat iaitu:
Paling tinggi merupakan tapak istana (sekarang Rumah kediaman Pegawai Daerah )
Tingkat kedua merupakan Balai Diraja (semasa penjajahan British dijadikan gelanggang tenis)
Tanah lapang dan rata sebagai tempat perhimpunan tentera.Kota ini dibina dizaman pemerintahan Sultan Ibrahim untuk mempertahankan diri dari serangan musuh khususnya Belanda Batu Hampar
Terletak dihalaman istana Sultan di suatu kawasan tanah lapang sambil menuruni tiga mata anak tangga menghala ke matahari terbit terdapat seketul batu pejal empat persegi 5x5x11 kaki padu. Batu ini beralaskan longgokan tanah pasir sebagai kakinya. Batu ini dinamakan batu hampar dan setengahnya menamakan sebagai batu pemancung.
Busut Malawati
Kira-kira 120 meter dari batu hampar, arah ke timur lagi sambil menuruni beberapa anak tangga, jika mengarah pandangan ke hadapan akan tertumpu pemandangan ke sebuah busut di bina dari tanah seluas 20X20 kaki persegi dan tingginya melebihi 15 kaki. Pembinaannya sezaman dengan pemerintahan Sultan Ibrahim. Ada 2 Tujuan dibina iaitu sebagai tempat sultan berrehat-rehat dengan raja-raja dari negeri lain yang datang melawat ke Kuala Selangor sambil menyaksikan perlagaan ayam dan sebagai gedung menyimpan harta-harta kerajaan pada masa itu.
Makam Diraja
Terdiri daripada sebuah bangunan kira-kira 40 x 30 kaki persegi. Disinilah bersemadinya tiga pusara Al Marhum Sultan Selangor yang awal iaitu: Al Marhum Sultan Salehuddin, Al Marhum Sultan Ibrahim dan Al Marhum Sultan Muhammad.
Telaga Tujuh
Ada pendapat mengatakan dahulu disini wujudnya tujuh buah telaga Pendapat lain mengatakan bukannya tujuh buah telaga tetapi tujuh pancutan mata airnya ada dalam sebuah telaga. Air ditelaga ini dikatakan tidak pernah kering walaupun di musim kemarau dan tidak pernah susut walaupun beribu gelen air dikeluarkan dari perutnya.
Tangga Seratus
Tangga yang disusun dengan batu-batu pejal sebanyak seratus keping hinggalah bertemu ke penjuru Busut Malawati. Tangga ini digunakan oleh pedagang untuk ke istana Sultan di Bukit Selangor setelah menambat perahu , sampan dan bahtera mereka di Pangkalan Batu Buruk .
Kota Bukit Tanjung
Kota ini sebahagian besarnya dibina daripada tanah. Puncak Bukit Tanjung ditebuk sedalam 10 kaki sementara disekelilingnya tanah setebal 8 kaki. Di atas tembok tersebut ditanam pepohon besar dan beberapa pucuk meriam.
Keramat Anak Dara
Keramat Anak Dara atau Keramat Rubiah Terletak dihujung jalan ke Tanjung Keramat kira-kira sebatu dari bandar Kuala Selangor.Berada di atas bukit keramat setinggi 100 kaki dari aras laut di pinggir Tasik Shina.
Rumah Api Kota Malawati
Rumah Api Kota Malawati dibina pada tahun 1907 oleh penjajah British. Tingginya 83 kaki dari dasar laut dan 27 kaki dari darat Rumah api ini mempunyai tiga bahagian iaitu bawah, tengah dan atas.
Bukit Raja
Bukit Raja merupakan Kubu Pertahanan Raja Muda Nala Ibni Almarhum Sultan Salehuddin (1784-1795) sewaktu terjadinya peperangan pada tahun 1785 untuk menawan semula Bukit Malawati dari pihak Belanda . Peperangan tersebut berkesudahan dengan Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Salehuddin dan pengikutnya dari dari negeri Selangor dan Pahang berjaya menawan semula Bukit Malawati dari pihak Belanda. Di Bukit ini juga terdapat beberapa makam yang dipercayai makam kerabat Diraja Negeri Selangor.
Keterangan lanjut, sila hubungi:
MUZIUM SEJARAH DAERAH KUALA SELANGOR
No 1, Puncak Bukit Malawati,
45000 Kuala Selangor.
SELANGOR DARUL EHSAN.
Tel : 603- 3289 7167
Fax : 603- 3289 6115
0 Komen:
Post a Comment